Friday, November 6, 2009

Kuntilanak vs Urban Legend

Kuntilanak vs Urban Legend

Poster Kuntilanak

Tayangan Unggul telah membuka tirai tayangannya dengan filem seram dari Indonesia, KUNTILANAK. Baru-baru ini saya dijemput oleh Tayangan Unggul untuk sama-sama menyaksikan sendiri filem yang diarahkan oleh Rizal Mantovani bersama selebriti tanahair dan rakan media. Ternyata filem ini bagi saya ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Rizal Mantovani sebelum ini gah dengan sebuah filem seram berjudul Jelangkung (2001) dan sebuah filem romantis berjudul Jatuh Cinta Lagi. Rizal memulakan kariernya sebagai sutradara video muzik yang paling berpengalaman di Indonesia. Merupakan salah seorang daripada 4 sutradara ternama yang mengeluarkan KULDESAK (1999), sebuah filem yang mendorong bangkitnya kembali aura perfileman di sana.

Sutradara & Pelakon Julie sebagai SAM

Ternyata garapan Rizal untuk Kuntilanak berbeda dengan apa yang kita tonton dalam Jelangkung. Dari sudut suntingan dan cinematografinya ada sedikit peningkatan. Yang paling mengkagumkan saya ialah prop dan juga susun atur lokasi filem ini yang diatur dan disolek sebegitu rapi.

Walaupun terdapat kesamaran dalam konsep penceritaan Kuntilanak itu sendiri, namun saya boleh menerima filem ini seadanya. Juga katanya kedudukan rumah kos-kosan di sebelah kubur itu adalah tidak masuk akal, namun pada saya elemen kubur dan pokok itu sendiri adalah asas kepada jalan cerita ini.

Mungkin susur galur dan asal usul Kuntilanak yang tidak jelas mengajak kita untuk lebih bersedia dengan menambah fakta dari luar. Tidak semua fakta tentang Kuntilanak ini ada dalam filem ini terutamanya soal mengapa Sam dijadikan objek untuk dirasuk dan membunuh mangsa. Juga mengapa tiada lanjutan antara sub plot di mana ayah Sam yang kejam tidak diberi hukuman dalam cerita ini? Filem ini tidaklah banyak berahsia sebenarnya kerana ianya diterangkan secara imbas kembali dan dialog dengan tuan empunya rumah misteri itu.

Dengan tema pakaian serba putih pada malam gala menjadikan suasana bertambah seram. Sedangkan filem ini sebenarnya tidak ada kaitan dengan warna tema tersebut. Kecuali untuk filem Pocong memang sesuai! Mungkin ianya sekadar ingin mencipta suasana yang unik barangkali. Mengikut yang saya tahu, Kuntilanak adalah hantu perempuan tua berkaki kuda yang biasanya muncul menjelang waktu senja. Kalau bunyi hilaiannya jauh, bermakna Kuntilanak itu berada dekat dengan kita. Begitulah sebaliknya. Tinggal di pokok dan keluarnya melalui pelbagai pintu atau cara termasuklah dari cermin.

Jalan ceritanya digarap dengan konsep Urban Legend. Di mana pembunuhan oleh Kuntilanak akan berlaku secara berulang-ulang. Mangsanya akan menerima habuan yang sama cuma situasi yang berbeda. Ini sudah tentu menjadikan filem ini klise dan dapat dijangka oleh penonton. Namun saya kira, objek dan tarikan utama dalam cerita ini ialah misteri apakah yang tersembunyi dalam bilik rahsia di rumah kos-kosan tersebut. Objek ini membuatkan penonton tertanya-tanya dan ternanti-nanti apakah yang bakal terjadi seterusnya.

Antara babak terakhir

Lakonan Evan Sanders yang dulunya kita saksikan lakonannya dalam DEALOVA (2005) tidak ada banyak peningkatan. Pada saya, lakonannya sama yang pernah kita tonton sebelumnya. Kekadang gerakannya agak kaku. Ekspressi wajah Evan banyak dipengaruhi oleh objek-objek halus dalam beberapa adegan seperti adegan dalam kamar rahsia.

Pemilihan Julie Estelle yang berperanan sebagai watak SAM atau SAMANTHA dalam filem ini sangat sesuai. Dikatakan model produk kecantikan ini akan bakal menggantikan lagenda dan ikon seram iaitu Suzanna. Ternyata pada saya, mutu lakonan Julie memang mengkagumkan. Terutamanya ketika dirasuk Kuntilanak dengan menyanyi lagu etnik jawa. Memang berbeza sepenuhnya dengan watak yang dimainkan dalam filem Alexandria (2005).

Atas dasar konsep asas filem ini digarap untuk menjadikan penonton ketakutan, saya kira hanya 70% ianya telah berjaya direalisasikan. Rupa hantu kuntilanak masih terbayang-bayang di minda saya sehingga terbawa-bawa dan seakan mengekori saya sampai ke rumah. Unsur ketakutan ini biasanya terpengaruh dengan mainan gambar, kesan bunyi dan kejutan yang diitonjolkan.

Dengan acuan yang sederhana dan bercorak hiburan dengan sedikit jenaka menjadikan filem ini antara filem yang boleh kita tonton. Pastikan goncangan adrenalin anda akan terus berada di tahap yang terkawal ketika menonton filem ini.

Kata Rizal, filem ini tidak habis di sini. Ada sambungannya, mungkin Kuntilanak II. Saya kira nanti, sekuel filem ini akan ada kesinambungan dan memperbaiki kelemahan pada naratif yang lemah serta lebih menggunakan unsur-unsur yang menyeramkan penonton.

Bulan Februari depan, filem Puaka Tebing Biru akan menemui peminat filem seram. Juga dibawakan oleh Tayangan Unggul. Nampaknya, tahun ini terlalu banyak penonton akan disogokkan dengan filem-filem seram. Jadi, berjayakah trend bermusim ini akan meningkatkan mutu perfileman Malaysia? Tepuk dada tanya selera…

UPDATED! Mengikut sumber yang boleh dipercayai, pengambaran sekuel Kuntilanak II dan III akan dirancangkan serentak. Bermakna kedua-dua filem akan dibuat pada tempoh yang sama. Boleh saya andaikan, filem kedua akan ditayangkan pada 2007 dan filem ketiga akan ditayangkan pada 2008. Alah, bak kata pakar filem yang sorang ni, ianya macam pembikinan filem Lords of The Rings… tak gitu?

Urband Legend?

No comments:

Post a Comment